Tabby Dolla 100 Wanita Tercantik

Kuala Lumpur: Anggota kumpulan Dolla, Tabby, 20, menjadi satu-satunya artis Malaysia tercalon dalam senarai 100 Wajah Tercantik 2021 (100 Most Beautiful Faces of 2021) oleh TC Candler.

Tabby atau nama sebenarnya Tabitha Ariel Lam berkata, dia sangat terkejut dan berbesar hati dibariskan dengan calon lain termasuk Rose BLACKPINK dari Korea Selatan.

“Saya sangat bersyukur walaupun hakikatnya ramai lagi wanita cantik yang lebih layak. Saya memang sangat terkejut apabila mendapat tahu dicalonkan TC Candler.

“Susah untuk saya percaya perkara ini kerana artis-artis lain semuanya hebat termasuk Rose. Saya rasa bertuah kerana dia menjadi idola saya selama ini, jauh lebih cantik dan menyanjungi kejayaannya.

“Bagi saya, sesiapa saja boleh menjadi cantik asalkan memiliki hati murni dan personaliti menarik. Sayangi diri dan keyakinan itu perkara utama, kemudian barulah paras rupa,” katanya.

Antara bintang ternama Asia yang turut tersenarai adalah penyanyi Indoneisa iaitu Raisa dan Ayu Ting Ting.

Senarai tahunan 100 Wajah Tercantik itu dimulakan TC Candler sejak 1990 bersama The Independent Critics.

Penganjurannya diiktiraf antara yang paling berprestij dan diperakui di seluruh dunia.

Dalam pada itu, Tabby turut berterima kasih kepada peminat yang sentiasa menyokong kerjayanya bersama kumpulan Dolla.

“Saya mahu ucapkan jutaan terima kasih kepada peminat saya dan Dolla, tanpa mereka, mustahil untuk saya merasa peluang sebegini.

“Mereka sentiasa menyokong saya sepenuh hati, itulah perkara yang sangat saya hargai. Saya harap dengan pencalonan ini, saya boleh mewakili nama Malaysia dengan baik,” katanya.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *